Wednesday, May 13, 2009

Debaran Anak Pertama


Debaran untuk disatukan sudah pun selesai. Tanggal 13 Ogos 2009 telah menyaksikan penyatuan dua jiwa ini ke jenjang pelamin. Tarikh itu juga menjadi titik permulaan kepada aku melayari kehidupan berumah tangga. Kini debaran aku dan Yanty Idayu menantikan kehadiran cahaya mata bukan sekadar mimpi indah malah menjadi realiti.

1

MZL_6977

18

Bagi aku, debaran hati isteri tetap sama seperti ibu yang lain yang sedang menantikan kelahiran anak sulung. Perasaan seronok dan teruja tidak mampu dibendung lagi walaupun kandungannya baru sahaja mencecah empat bulan. Kadangkala pelik bercampur gembira aku melihat perubahan yang berlaku pada isteri. Sampai satu tahap isteri aku tidak boleh terhidu bau makanan. Aku yang untung, sapu bersih...heheheheh. Tapi perasaan kesian dan takut tetap ada kerana takut membawa kesan kepada kandungnya.

Setiap kali aku melihat kad kesihatan isteri, terasa kesian yang sangat kepada beliau, aku sekarang berada di Pulau Pinang dan beliau berada di Kedah. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku semasa ketiadaan aku. Aku hanya boleh memeriksa kad kesihatan dan perkembangan kesihatan isteri serta keadaan kandungan pada hujung minggu apabila aku pulang ke Kedah. Dalam keadaan yang sibuk dengan kerja di pejabat, isteri aku perlu mengikuti jadual pemeriksaan kandungan untuk memastikan kandungan sihat. Yang pastinya, aku belum berkesempatan menemani isteri aku menjalani pemeriksaan kandungan. Tidak tahu bila aku berkesempatan untuk melihat sendiri anak dalam kandungan kerana setiap kali waktu pemeriksaan aku berada di Pulau Pinang. Sabar je ar.....masa akan tiba juga.

Pengalaman menjadi bapa kelak sememangnya aku tunggu-tunggu. Macam mana nak mendukung anak, dah ar aku ni jenis suka gelak, tak pandai nak serius.....mesti gelak ar nanti. tapi aku akan jadi bapak yang terbaik di dunia. Nanti bila hari bapa aku dapat hadiah dari anak-anak.hehehehe.

Dari segi persediaan pula, aku tidaklah bersedia sangat sebenarnya. Kata orang tua-tua, kita tak perlu beria-ia membuat pelbagai persediaan. Takut yang buruk berlaku pula. Jadi bila masuk sahaja bulan ke tujuh barulah aku mahu buat persedian sepenuhnya. Harapan tu, moga-moga anak yang di kandung tu sihat dan sempurna dari segi fizikal dan mental serta mampu jadi manusia yang berguna di dunia dan diakhirat...Amin.


Tuesday, May 12, 2009

Selamat Hari Guru

1

“Selamat Hari Guru” – paling banyak sekali

“Teacher is like PEPSI “Ask 4 More”, Teacher is like NIKE “Just Do It”, “Teacher is like NOKIA, “Connecting People”, Teacher is like McDonald, “I’m Loving it” Happy Teacher’s Day!!.

“Kadang-kadang kwn mcm maggie; time susah kita cari, kadang-kadang tu cam Chipsmore; kejap ada kejap takda, kawan juga cam Astro; macam-macam ada, tapi buatku kawan tu cam L’Oreal kerana dirimu begitu berharga. Selamat Hari Guru…”

“Guru …dalam ajarnya ada harapan, dalam tegurnya ada doa, dalam marahnya ada sayang, dalam tawa ada mesranya, dalam diam ada bijaksananya, dalam tangannya kita terbina. Berbahagialah menjadi guru... Selamat Hari Guru.

"Some sees us as candle, some even thought we are angel, but deep inside we are normal person with one aim, to educate more people, Happy Teacher's Day!!

Perkemahan Perdana Pengakap Zon Utara

pengakap-1

Batu Kurau, di Teratak Afrina seramai 269 orang pengakap dari IPGM Zon Utara telah berjaya mengikuti kursus manik kayu peringkat satu. IPGM yang terlibat di dalam kursus tiga hari empat malam adalah IPGM Kampus Pulau Pinang, IPGM Sultan Abdul Hamid, IPGM Tunku Bainun, IPGM Darulaman dan IPGM Negeri Perlis. Hujan lebat, kawasan hemah yang becak, kekurangan kemudahan asas menjadi cabar utama peserta pada hari perkhemahan tersebut. Dengan Slogan "Buat Habis Baik" menjadi pendorong semangat kepada peserta mengakhiri perkhemahan dengan jayanya. Pada hari terakhir, peserta telah diksarung kan dengan "WOGEL" menandakan peserta telah lulus kursus manik kayu peringkat satu. Tahniah! kepada semua pengakap IPGM Kampus Pulau Pinang kerana lulus Ujian Manik Kayu Peringkat Satu, semoga bertemu di Kursus Manik Kayu Peringkat Kedua.

Lawatan-Kelas Lipem IPGM Kampus Pulau Pinang

lawatan1

Perak, 23 April 2009. Seramai 20 orang pelajar Kurus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Pengajian Pemulihan IPGM Kampus Pulau Pinang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Sekolah Kebangsaan Bagan Serai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kepar, Perak. Matlamat lawatan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan keyakinan diri guru pelatih dalam menguruskan pengajaran dan pembelajaran. Sekalung penghargaan kepada Encik Ainuddin B. Mohd Isa (Penyelaras Program), Cik Lau Hooi Lin (Tutor), Cik Lee (Pensyarah Pengiring), Guru Besar, guru-guru & Staf Sek.Keb.Bagan Serai & Sek.Keb.Sungai Kepar serta semua pelajar KPLI pengajian pemulihan ambilan januari 2009 kerana menjayakan program yang ulung kali diadakan di luar Negeri Pulau Pinang.

Lagenda Langkawi

langkawi-mahsuri

MAHSURI DAN SUMPAHAN TUJUH KETURUNAN

Mahsuri adalah anak perempuan kepada pendatang Siam yang beragama Islam. Beliau telah dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh ibu mertuanya sendiri disebabkan oleh kecantikan serta penghormatan yang dimiliki oleh Mahsuri. Akibatnya Mahsuri dihukum dengan hukuman mati. Pada hari hukuman, keris keramat kepunyaan keluarganya sendiri digunakan untuk membunuhnya. Namun begitu terdapat satu perkara aneh berlaku dimana darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih yang membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata. Disaat-saat akhir kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi akan menjadi kawasan yang mundur selama tujuh keturunan.Kebenaran sumpah itu telah terbukti apabila Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan. Antara kebenaran lagenda atau terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju sekali lagi setelah tujuh keturunan dalam kepayahan.

MISTERI TELAGA TUJUH

Telaga Tujuh atau The Seven Wells adalah satu rangkaian tujuh telaga semulajadi yang airnya mengalir dari tujuh mata air. Dipercayai terdapat tujuh orang puteri dari kayangan yang sering mandi dan amat suka akan kesejukan air perigi ini. Terdapat seorang putera raja yang tinggal berhampiran perigi ini dan cuba untuk memikat serta mengahwini salah seorang puteri-puteri ini tetapi masih belum berjaya. Air ini juga dipercayai mempunyai kuasa yang boleh menyembuhkan beberapa penyakit.

LAGENDA MAT CHINCHANG DAN MAT RAYA

Mat Chinchang dan Mat Raya adalah diantara keluarga gergasi yang tinggal di pulau utama Pulau Langkawi. Disebabkan oleh saiz yang besar serta kekuatan tenaga yang dimiliki oleh mereka, bentuk mukabumi Langkawi telah berubah dengan dramatik. Lagenda meraka bermula, apabila Mat Raya bercadang mengadakan kenduri sempena pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang. Pada hari majlis itu berlangsung didapati anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang dara dan ini telah mencetuskan kemarahan Mat Raya. Akibatnya, persahabatan dua keluarga ini telah terputus dan wujud permusuhan yang hebat serta pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Pergaduhan dua keluarga ini telah mengubah kawasan dipulau utama ini dimana tempat cincin pertunangan itu jatuh selepas dicampak dinamakan Tanjung Cincin. Kawasan dimana peralatan memasak itu pecah dinamakan Kampung Belanga Pecah, kuah yang mengalir itu dinamakan Pekan Kuah dan tempat dimana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap serta kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal dari bekas memasak air yang telah pecah bagi majlis tersebut. Mat Raya dan Mat Chinchang pula telah bertukar menjadi gunung batu yang dikenali sebagai Gunung Raya dan Gunung Chinchang. Mat Sawar yang cuba menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan ini telah bertukar menjadi sebuah bukit yang menjadi pemisah kepada dua gunung ini.

KAMPUNG AIR HANGAT

Telaga Air Hangat juga wujud akibat pergaduhan dua gergasi yang sama. Diantara pinggan mangkuk serta periuk belanga yang pecah terdapat beberapa bekas yang digunakan untuk memasak air panas. Tempat dimana tumpahnya air panas tersebut mengasilkan telaga air panas yang wujud sekarang. Terletak dikawasan Telaga Air Panas seluas 4 ekar, terbina kompleks moden yang didalamnya terdapat 3 tingkat pancutan air panas, mural lukisan tangan diatas batu sungai sepanjang 18 meter yang menceritakan lagenda disebalik kewujudan tempat ini, demostrasi harian tentang kraftangan tempatan dan tarian kebudayaan serta kedai-kedai yang menjual kraftangan. Terdapat juga kemudahan kedai makanan dan minuman yang menyediakan juadah tempatan disini. Kompleks ini terletak hanya 14 kilometer dari pekan Kuah.

PADANG MAT SIRAT

Padang Mat Sirat terletak 12 kilometer dari pekan Kuah. Selepas kematian Mahsuri, Langkawi telah diserang oleh Angkatan Tentera Siam. Rakyat tempatan telah membakar semua beras sebagai bekalan utama makanan bagi menghalang tentera Siam mendapat bekalan makanan untuk mereka. Diceritakan, mereka telah menanam beras tersebut didalam tanah sedalam 1 meter dan kesan beras terbakar tersebut masih lagi boleh dilihat hingga sekarang, lebih-lebih lagi selepas hujan. Tempat dimana beras terbakar itu dapat dilihat dinamakan Beras Terbakar dimana kebanyakan orang percaya boleh mengubat beberapa jenis penyakit.

PULAU DAYANG BUNTING

Tasik Dayang Bunting terletak di sebuah pulau yang membawa nama yang sama iaitu Pulau Dayang Bunting. Pulau yang berukuran 800 x 350 meter ini adalah pulau yang terbesar diantara gugusan pulau-pulau di Langkawi. Tasik Dayang Bunting ini dikelilingi dari setiap sudut oleh cerun curam yang ditumbuhi sepenuhnya oleh pokok-pokok dan dipisahkan dari laut oleh satu rekahan kecil melalui timbunan batu kapur. Struktur Geografi yang membentuk bukit-bukiau serta batu-batan disekeliling tasik ini seolah-olah menggambarkan seorang wanita yang mengandung sedang tidur terbaring. Namun begitu, tasik ini diberi nama sedemikian kerana mengambilkira satu lagenda lama yang mengisahkan perkahwinan seorang puteri kayangan dengan seorang putera raja kerajaan bumi. Anak yang lahir dari perkahwinan mereka in telah mangkat selepas saja ia dilahirkan. Oleh kerana puteri ini sangat sedih dan kecewa, beliau telah menyemadikan mayat anaknya ke dalam air tasik ini. Beliau telah meninggalkan bumi dan kembali pulang ke kayangan tetapi telah menjampi air tasik tersebut sebagai penawar kepada pasangan yang tidak dapat melahirkan anak. Dipercayai perempuan mandul akan dapat mengandungkan anak selepas mandi di tasik ini.



Perkembangan pendidikan khas dan pendidikan pemulihan serta peranan guru

Projek penyelidikan ini bertujuan untuk meninjau perkembangan pendidikan khas dan pendidikan pemulihan serta peranan guru. Tinjauan literatur tentang pendidikan khas adalah dari aspek perkembangannya di barat dan di Malaysia, kedudukannya dalam Akta Pendidikan dan dari aspek definisi dan klasifikasi kanak-kanak dengan keperluan khas. Pertalian antara pendidikan khas dan pendidikan pemulihan telah dikaji dari segi ciri-ciri persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya. Dari kajian literatur yang dibuat didapati amalan dalam pendidikan khas telah melalui beberapa perubahan dari era 1800 sehingga kini. Perubahan dalam perkembangan tersebut telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam peranan guru. Corak perkembangan pendidikan khas adalah berbeza di antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Sistem klasifikasi yang digunakan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami kecacatan atau kurang upaya juga didapati berbeza antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Perbezaan dalam sistem klasifikasi ini telah menyebabkan berlakunya perbezaan dalam penempatan dan peratusan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas di antara negara. Pendidikan pemulihan di Malaysia pula diperkenalkan selepas projek perintis untuk meninjau keperluan mengadakan pendidikan pemulihan dilancarkan oleh Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1967. Amalan lazim dalam pengajaran pemulihan khas ialah menggunakan sistem pengunduran. Kelas pemulihan khas diwujudkan bagi tujuan mengatasi maslah ketidakupayaan murid-murid lemah dalam menguasai kemahiran asas 3M - membaca, menulis dan mengira. Dalam pengajaran pemulihan strategi pengajaran diubahsuai untuk keperluan murid-murid yang mengalami ketidakupayaan dalam pembelajaran. Perkembangan dalam pendidikan khas telah membawa kepada perubahan dalam peranan guru. Pada peringkat awal perkembangan pendidikan khas, guru-guru berperanan memberi pendidikan kepada murid-murid mengikut kecacatan mereka berdasarkan laporan-laporan perubatan. Peranan guru-guru telah berubah dengan kewujudan kelas-kelas pemulihan dan pelaksanaan pendekatan integrasi, ' mainstreaming ' dan pendidikan inklusif. Prof. Madya Dr. Zalizan Mohd Jelas dan Suraya Adam (FAKULTI PENDIDIKAN,UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA)

Bahasa Melayu VS Bahasa Inggeris

Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.

Kita diberitahu Nabi bersabda “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”. Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu?. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada “di zaman gelap”, zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.

Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.

Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.

Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.

Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.

Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar. Bahasa jiwa bangsa, tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.

Dipetik:Pendapat Tun Dr. Mahathir tentang PPSMI