Di Malaysia dan sebahagian besar negara lain pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun diadakan sambutan Hari Ibu. Pada hari ini anak-anak akan meraikan ibu mereka dengan berbagai cara. Tidak kiralah apa yang anda lakukan untuk ibu anda hari ini walaupun sekadar ucapan ringkas pasti menggembirakan ibu anda.
Walaupun begitu perlulah diingat bahawa menghargai ibu bukanlah cukup setakat satu hari sahaja. Sebagai umat Islam kita wajib mentaati dan menghormati ibubapa kita pada setiap masa. Ini boleh dilihat pada Firman Allah, bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya" (Surah al Ankabut, ayat 8).
Ini diperkuatkan lagi dengan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di mana dalam sebuah riwayat seorang lelaki datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya, "Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?" Jawab baginda, "Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu dan selepas itu orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".
Walau di mana atau siapa pun kita ingatan kepada ibu perlulah sentiasa segar dalam ingatan, tidak kiralah samada mereka masih bersama kita atau sudah tiada. Fikirkanlah, kita berada dalam perut ibu selama 9 bulan dan ibu bertarung nyawa semasa melahirkan kita. Jadi layanlah mereka sebaik mungkin, temanilah mereka sekerap yang boleh dan hargai jasa mereka sepanjang masa. Sentiasalah kita mendoakan ibu kita lebih-lebih lagi jika ibu kita sudah meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment