Tuesday, May 12, 2009

Perkembangan pendidikan khas dan pendidikan pemulihan serta peranan guru

Projek penyelidikan ini bertujuan untuk meninjau perkembangan pendidikan khas dan pendidikan pemulihan serta peranan guru. Tinjauan literatur tentang pendidikan khas adalah dari aspek perkembangannya di barat dan di Malaysia, kedudukannya dalam Akta Pendidikan dan dari aspek definisi dan klasifikasi kanak-kanak dengan keperluan khas. Pertalian antara pendidikan khas dan pendidikan pemulihan telah dikaji dari segi ciri-ciri persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya. Dari kajian literatur yang dibuat didapati amalan dalam pendidikan khas telah melalui beberapa perubahan dari era 1800 sehingga kini. Perubahan dalam perkembangan tersebut telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam peranan guru. Corak perkembangan pendidikan khas adalah berbeza di antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Sistem klasifikasi yang digunakan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami kecacatan atau kurang upaya juga didapati berbeza antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Perbezaan dalam sistem klasifikasi ini telah menyebabkan berlakunya perbezaan dalam penempatan dan peratusan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas di antara negara. Pendidikan pemulihan di Malaysia pula diperkenalkan selepas projek perintis untuk meninjau keperluan mengadakan pendidikan pemulihan dilancarkan oleh Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1967. Amalan lazim dalam pengajaran pemulihan khas ialah menggunakan sistem pengunduran. Kelas pemulihan khas diwujudkan bagi tujuan mengatasi maslah ketidakupayaan murid-murid lemah dalam menguasai kemahiran asas 3M - membaca, menulis dan mengira. Dalam pengajaran pemulihan strategi pengajaran diubahsuai untuk keperluan murid-murid yang mengalami ketidakupayaan dalam pembelajaran. Perkembangan dalam pendidikan khas telah membawa kepada perubahan dalam peranan guru. Pada peringkat awal perkembangan pendidikan khas, guru-guru berperanan memberi pendidikan kepada murid-murid mengikut kecacatan mereka berdasarkan laporan-laporan perubatan. Peranan guru-guru telah berubah dengan kewujudan kelas-kelas pemulihan dan pelaksanaan pendekatan integrasi, ' mainstreaming ' dan pendidikan inklusif. Prof. Madya Dr. Zalizan Mohd Jelas dan Suraya Adam (FAKULTI PENDIDIKAN,UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA)

No comments:

Post a Comment