Tuesday, May 12, 2009

Lagenda Langkawi

langkawi-mahsuri

MAHSURI DAN SUMPAHAN TUJUH KETURUNAN

Mahsuri adalah anak perempuan kepada pendatang Siam yang beragama Islam. Beliau telah dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh ibu mertuanya sendiri disebabkan oleh kecantikan serta penghormatan yang dimiliki oleh Mahsuri. Akibatnya Mahsuri dihukum dengan hukuman mati. Pada hari hukuman, keris keramat kepunyaan keluarganya sendiri digunakan untuk membunuhnya. Namun begitu terdapat satu perkara aneh berlaku dimana darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih yang membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata. Disaat-saat akhir kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi akan menjadi kawasan yang mundur selama tujuh keturunan.Kebenaran sumpah itu telah terbukti apabila Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan. Antara kebenaran lagenda atau terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju sekali lagi setelah tujuh keturunan dalam kepayahan.

MISTERI TELAGA TUJUH

Telaga Tujuh atau The Seven Wells adalah satu rangkaian tujuh telaga semulajadi yang airnya mengalir dari tujuh mata air. Dipercayai terdapat tujuh orang puteri dari kayangan yang sering mandi dan amat suka akan kesejukan air perigi ini. Terdapat seorang putera raja yang tinggal berhampiran perigi ini dan cuba untuk memikat serta mengahwini salah seorang puteri-puteri ini tetapi masih belum berjaya. Air ini juga dipercayai mempunyai kuasa yang boleh menyembuhkan beberapa penyakit.

LAGENDA MAT CHINCHANG DAN MAT RAYA

Mat Chinchang dan Mat Raya adalah diantara keluarga gergasi yang tinggal di pulau utama Pulau Langkawi. Disebabkan oleh saiz yang besar serta kekuatan tenaga yang dimiliki oleh mereka, bentuk mukabumi Langkawi telah berubah dengan dramatik. Lagenda meraka bermula, apabila Mat Raya bercadang mengadakan kenduri sempena pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang. Pada hari majlis itu berlangsung didapati anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang dara dan ini telah mencetuskan kemarahan Mat Raya. Akibatnya, persahabatan dua keluarga ini telah terputus dan wujud permusuhan yang hebat serta pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Pergaduhan dua keluarga ini telah mengubah kawasan dipulau utama ini dimana tempat cincin pertunangan itu jatuh selepas dicampak dinamakan Tanjung Cincin. Kawasan dimana peralatan memasak itu pecah dinamakan Kampung Belanga Pecah, kuah yang mengalir itu dinamakan Pekan Kuah dan tempat dimana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap serta kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal dari bekas memasak air yang telah pecah bagi majlis tersebut. Mat Raya dan Mat Chinchang pula telah bertukar menjadi gunung batu yang dikenali sebagai Gunung Raya dan Gunung Chinchang. Mat Sawar yang cuba menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan ini telah bertukar menjadi sebuah bukit yang menjadi pemisah kepada dua gunung ini.

KAMPUNG AIR HANGAT

Telaga Air Hangat juga wujud akibat pergaduhan dua gergasi yang sama. Diantara pinggan mangkuk serta periuk belanga yang pecah terdapat beberapa bekas yang digunakan untuk memasak air panas. Tempat dimana tumpahnya air panas tersebut mengasilkan telaga air panas yang wujud sekarang. Terletak dikawasan Telaga Air Panas seluas 4 ekar, terbina kompleks moden yang didalamnya terdapat 3 tingkat pancutan air panas, mural lukisan tangan diatas batu sungai sepanjang 18 meter yang menceritakan lagenda disebalik kewujudan tempat ini, demostrasi harian tentang kraftangan tempatan dan tarian kebudayaan serta kedai-kedai yang menjual kraftangan. Terdapat juga kemudahan kedai makanan dan minuman yang menyediakan juadah tempatan disini. Kompleks ini terletak hanya 14 kilometer dari pekan Kuah.

PADANG MAT SIRAT

Padang Mat Sirat terletak 12 kilometer dari pekan Kuah. Selepas kematian Mahsuri, Langkawi telah diserang oleh Angkatan Tentera Siam. Rakyat tempatan telah membakar semua beras sebagai bekalan utama makanan bagi menghalang tentera Siam mendapat bekalan makanan untuk mereka. Diceritakan, mereka telah menanam beras tersebut didalam tanah sedalam 1 meter dan kesan beras terbakar tersebut masih lagi boleh dilihat hingga sekarang, lebih-lebih lagi selepas hujan. Tempat dimana beras terbakar itu dapat dilihat dinamakan Beras Terbakar dimana kebanyakan orang percaya boleh mengubat beberapa jenis penyakit.

PULAU DAYANG BUNTING

Tasik Dayang Bunting terletak di sebuah pulau yang membawa nama yang sama iaitu Pulau Dayang Bunting. Pulau yang berukuran 800 x 350 meter ini adalah pulau yang terbesar diantara gugusan pulau-pulau di Langkawi. Tasik Dayang Bunting ini dikelilingi dari setiap sudut oleh cerun curam yang ditumbuhi sepenuhnya oleh pokok-pokok dan dipisahkan dari laut oleh satu rekahan kecil melalui timbunan batu kapur. Struktur Geografi yang membentuk bukit-bukiau serta batu-batan disekeliling tasik ini seolah-olah menggambarkan seorang wanita yang mengandung sedang tidur terbaring. Namun begitu, tasik ini diberi nama sedemikian kerana mengambilkira satu lagenda lama yang mengisahkan perkahwinan seorang puteri kayangan dengan seorang putera raja kerajaan bumi. Anak yang lahir dari perkahwinan mereka in telah mangkat selepas saja ia dilahirkan. Oleh kerana puteri ini sangat sedih dan kecewa, beliau telah menyemadikan mayat anaknya ke dalam air tasik ini. Beliau telah meninggalkan bumi dan kembali pulang ke kayangan tetapi telah menjampi air tasik tersebut sebagai penawar kepada pasangan yang tidak dapat melahirkan anak. Dipercayai perempuan mandul akan dapat mengandungkan anak selepas mandi di tasik ini.



No comments:

Post a Comment